EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Pasaran getah asli Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan faktor luaran termasuk ketidaktentuan membabitkan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan Beijing yang berterusan, kata seorang pakar industri itu.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata aktiviti belian dan jualan itu berkemungkinan kekal pada paras semasa yang mendatar tanpa mencatat pengurangan mahu pun meningkat.

“Harganya mungkin meningkat atau susut sedikit dengan perbezaannya sekitar beberapa sen yang bagaimanapun, disifatkan sebagai biasa dan stabil.

“Perkembangan itu disebabkan para pedagang masih kurang jelas bagaimana tindakan China mengenakan tarif ke atas pelbagai produk getah sintetik dan tayar keluaran AS dapat memberi kesan kepada penggiat pasaran lain, termasuk di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, pasaran hadapan getah serantau yang lebih kukuh serta kenaikan harga minyak akan dapat menampung sebarang kejatuhan harga dalam pasaran getah asli tempatan.

Bagi minggu dagangan singkat akibat cuti umum pada Isnin, pasaran tempatan kebanyakannya menyaksikan penurunan, dijejaskan oleh sentimen lebih lemah dalam pasaran getah serantau dan perkembangan membabitkan pertikaian dagangan antara AS-China.

Pada asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia adalah berampur-campur dengan harga tengah hari bagi gred tayar SMR 20 tidak berubah pada 546.00 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 3.5 sen kepada 411.50 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang untuk SMR 20 menokok 0.5 sen kepada 545.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun lima sen kepada 411.00 sen sekilogram.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :