NASIONAL

Danyal Balagopal akan bantu Anwar menang di Port Dickson

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 12 SEPT: Penyandang kerusi Parlimen Port Dickson, Laksamana Muda (B) Dato’ Danyal Balagopal Abdullah akan terus menabur bakti bagi memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dan kembali semula ke Parlimen.

Katanya, Anwar dan KEADILAN tidak mengemukakan tawaran balasan atas kesudiannya mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson, bahkan akan terus menjadi ‘mata dan telinga’ Presiden KEADILAN itu bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya akan jadi mata dan telinga kepada rakyat. Saya tidak akan tinggalkan Port Dickson.

“Saya dengan sepenuh hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyokong dan pengundi yang percaya serta memilih saya sebagai Ahli Parlimen mereka, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Saya amat berharap pengundiPort Dickson akan memberi sokongan sama atau lebih kepada Ahli Parlimen akan datang dan ‘Prime Minister In Waiting’, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Beliau berkata, surat peletakkan jawatan selaku Ahli Parlimen Port Dickson sudah dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, tengah hari tadi.

Keputusan itu menyaksikan Anwar akan bertanding sekali lagi untuk kembali ke Dewan Rakyat selepas kali terakhir menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh ,lima tahun lalu.

Dalam sidang media sama, Setiausaha Agung KEADIALAN, Datuk Saifuddin Nasution Islam berkata, Nurul Izzah Anwar akan bertindak selaku Pengarah Jentera Pilihan Raya sambil dibantu jentera parti yang sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil (PRK).

“Suruhanjaya Pilihan Raya ada 60 hari bagi menetukan tarikh pilihan raya. Kita akan akur dengan tarikh dan kita akan bersedia menghadapinya,” katanya.

Berdasarkan rekod sejak 2008, Parlimen Port Dickson yang dahulunya dikenali sebagai Parlimen Telok Kemang dimenangi KEADILAN.

Pada PRU-14, Danyal Balagopal menang di kerusi itu apabila mendapat 36,225 undi dengan majoriti 17,110.


Pengarang :