SELANGOR

DAP wakili seluruh rakyat Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Berbanding MCA, calon Pakatan Harapan (PAKATAN) daripada DAP, Wong Siew Ki, adalah calon pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong kerana mewakili seluruh rakyat, di Selangor.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah DAP menggunakan logo PAKATAN adalah bukti jelas menggambarkan pendirian parti itu yang tidak mengamalkan perkauman dan mengutamakan kepentingan semua rakyat pelbagai bangsa dan agama.

“Kita gunakan logo PAKATAN untuk menunjukkan mewakili semua rakyat Malaysia sejak DAP ditubuhkan, pada 1966.

“Ia juga menggambarkan PAKATAN sebagai simbol kepada empat parti iaitu KEADILAN, DAP, Bersatu dan Amanah untuk seluruh rakyat, di negara ini.

“MCA gunakan logo sendiri dan tidak berani gunakan simbol dacing Barisan Nasional kerana mereka tahu tiada harapan. MCA hanya sebuah parti mewakili satu kaum sahaja,” katanya pada Grand Finale Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balakong, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya yakin pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bijak membuat pilihan dengan mengekalkan PAKATAN dan menolak MCA, pada PRK kali ini.

Beliau juga melihat dirinya sebagai pemimpin yang mewakili seluruh rakyat Malaysia apabila kerajaan PAKATAN mengambilalih pentadbiran negara.

“Saya rakyat Malaysia berbangsa Cina betul tetapi mengutamakan rakyat Malaysia,” katanya.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

 


Pengarang :