SELANGOR

DNS: Tuduhan calon MCA tidak berasas

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Tuduhan Tan Chee Teong berkenaan isu jumlah soalan dikemukakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) kali ini, tidak berasas sama sekali ini.

Pengerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Ean Yong Hian Wah berkata, perkara dibangkitkan calon MCA itu jelas mengambarkan kualiti pemimpin parti berkenaan yang tidak ikhlas berkhidmat kepada rakyat.

“Tuduhan ini menunjukkan beliau langsung tidak faham peranan dan tugas sebagai seorang ADN, sekali gus menonjolkan kualiti pemimpin MCA yang lemah dan tidak matang.

“Kenyataan dibuatnya tidak berasas dan tanpa penyelidikan kerana untuk soalan DNS, setiap kawasan mempunyai isu berlainan.

“Jika banyak masalah, maka banyaklah soalan dan begitu sebaliknya,” katanya dalam sidang media di lobi DNS di sini, hari ini.

Hian Wah yang juga ADN Seri Kembangan berkata demikian mengulas dakwaan Chee Teong yang dilaporkan menyatakan ADN PAKATAN tidak menjalankan tugas kerana mengemukakan jumlah soalan lisan kurang, pada DNS kali ini berbanding DNS sebelumnya, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam setiap sesi sidang DNS, pertanyaaan dikemukakan adalah berbeza dan apa diperkatakan calon MCA itu mengambarkan beliau tidak memahami isu.

“ADN boleh mengambil bahagian dalam sesi perbahasan untuk membangkitkan isu atau masalah dihadapi di DUNnya dan mengutarakan dalam jawatankuasa berlainan.

“Maka, saya menyeru kepada pengundi Balakong jangan membazirkan undi kepada calon MCA yang tidak ikhlas untuk berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata, seseorang ADN boleh mengemukakan sehingga sepuluh soalan untuk dipertimbangkan supaya dibangkitkan dalam sidang DNS.

“Saya sebagai mantan EXCO, maka pada sidang kali ini agak kurang soalan kerana tidak mungkin persoalan pernah dibangkit dan dijawab saya, akan saya kemukakan semula,” katanya.

Calon PAKATAN, Wong Siew Ki akan berdepan Chee Teong dalam PRK Balakong, pada 8 September ini ekoran kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan jalan raya, pada 19 Julai lalu.


Pengarang :