NASIONAL

Dua beradik maut kereta dirempuh treler

KUALA KANGSAR, 15 SEPT: Tiga termasuk dua beradik maut selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah treler di Batu 18, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di Kampung Jamuan, Kota Lama Kiri dekat sini, malam tadi.

Memetik laporan BERNAMA, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Amirul Fahmi Samsudin, 12, Muhammad Asyraf Hamdan Al Fikri, 27, dan adiknya Muhammad Irfan, 17.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, kesemua mereka yang menaiki kereta jenis Nissan Sunny maut di tempat kejadian, manakala pemandu treler hanya cedera ringan.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati kereta itu terbabas di sebelah kiri jalan serta terperosok di bawah treler tanpa muatan.

“Khidmat kren terpaksa diguna untuk mengangkat treler berkenaan kerana kepala treler itu tersangkut pada kabel elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) bervoltan tinggi.

“Anggota TNB dipanggil untuk memutuskan bekalan elektrik sementara di kawasan itu,” katanya.

Mohd Taufiq berkata, pihaknya menggunakan beberapa peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kereta sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat kira-kira jam 11.58 malam.


Pengarang :