SELANGOR

DUN Permatang – 4 sekolah meterai MoU perkasa pelajar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang menjalin kerjasama dengan empat sekolah di DUN itu untuk menganjur dan bertukar pelbagai program memperkasakan pelajar.

Ahli Dewan Negerinya, Rozana Zainal Abidin berkata, Memorandum Jalinan Pintar itu membabitkan Sekolah Rendah Jalan Raja Musa, Sekolah Rendah Parit Serong, Sekolah Rendah Bukit Belimbing dan Sekolah Rendah Kuala Selangor.

“Setiap sekolah ini akan bertukar-tukar melaksanakan pelbagai program dan akan memberi pendedahan kepada pelajar terutama yang bakal menghadapi peperiksaan.

“Kita mahu pelajar diberi pendedahan mengenai sekolah lain dan tidak hanya memfokuskan kepada sekolah sendiri sahaja,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Rozana berkata, pihaknya komited mahukan pelajar tidak tercicir dalam pelajaran sekali gus membuka minda mereka untuk terdedah dengan budaya dari sekolah lain.

Katanya, ia juga merupakan salah satu inisiatif menarik pelajar supaya minat untuk datang ke sekolah dan menyertai pelbagai program menarik.

“Guru juga boleh bekerjasama untuk berbincang pelbagai perkara supaya program Jalinan Pintar ini dapat berjalan dengan baik

“Program ini kita sudah mulakan dan akan dijadikan sebagai program tahunan sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan,” katanya.


Pengarang :