SELANGOR

DUN Subang Jaya optimis jayakan kempen kesedaran kesihatan mental

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 19 SEPT: Kempen kesedaran kesihatan mental dan pencegahan bunuh diri dijayakan bagi menangani isu berkaitan yang berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze berkata, kempen anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Universiti Sunway adalah langkah awal mengatasinya.

“Kita mengadakan perbincangan berhubung kempen ini di mana ia antara isu besar di DUN Subang Jaya kerana terdapat kes bunuh diri pernah berlaku.

“Kempen ini juga bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan di mana kalangan ibu bapa dan guru melihat kanak-kanak menghadapi cabaran kesihatan mental,” katanya selepas majlis perasmian ‘Mental Health Awareness and Suicide Prevention Campaign’ di Universiti Sunway di sini, hari ini.

Beliau berkata, di dalam program itu pihaknya juga menjemput Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta Ahli Parlimen Subang, Wong Chen bagi membincangkan isu berkenaan di dalam satu forum untuk diatasi mengikut undang-undang.

Katanya, Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan RM1 juta sebelum PRU14 dan pihaknya berharap ia dapat digunakan untuk menangani masalah berkaitan.

“Pada sidang Dewan Negeri Selangor lalu, Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan satu kursus mengenai kaunseling akan dilaksanakan dan saya berharap dana ini boleh digunakan bagi tujuan kesihatan mental.

“Dengan kursus dijalankan itu boleh disertai orang ramai bagi memberi peluang kepada masyarakat khususnya penjaga, ibu bapa, guru yang menghadapi masalah seperti ini,” katanya.


Pengarang :