SELANGOR

DUN: Tindakan penguatkuasaan bersepadu pantau aktiviti mineral

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri mahu tindakan bersepadu dilaksanakan membabitkan semua agensi dalam mengendalikan aktiviti penguatkuasaan, pengurusan dan pemantauan sumber mineral di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebelum ini, Selangor menjadi peneraju dalam mengamalkan sistem e-doket yang berfungsi mengesan pergerakan lori dan masalah ketirisan pendapatan.

“Sistem e-doket yang digunakan berfungsi mengesan pergerakan lori, pemerhatian, cerapan dan pemantauan.

“Namun, penguatkuasaan secara berjadual akan turut dilaksanakan dan kita akan merujuk Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (Taman Templer), di Sidang Dewan Negeri, di sini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh tindakan bersepadu semua agensi supaya aktiviti pengkuarian dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah.

Pada masa sama, Amirudin berkata, pendapatan Kerajaan Negeri menerusi hasil penjualan kuari meningkat setiap tahun.

Katanya, ia membabitkan sebanyak RM24.66 juta (2014), RM48.99 juta (2015), RM36.20 juta (2016), RM51.94 juta (2017) dan setakat Julai 2018 sebanyak RM31.26 juta.


Pengarang :