SASTERA

Dunia dari atas bahu seorang perempuan

Oleh Haizir Othman

MARIA belum bangun ketika azan Subuh dilaungkan dari masjid tak sampai seratus meter dari apartmen kami. Malah dia belum bangun sejak dua puluh satu hari lalu. Aku tak tahu sama ada keputusan untuk tidak bangun itu disebabkan oleh lebihan dos ubat tidur yang ditelannya malam Rabu bulan lalu atau ia hanya keinginannya sendiri. Apa yang aku tahu, di atas ini berkali-kali matahari telah terbit dan terbenam tanpa dia. Terbukti dunia dapat berfungsi seperti biasa tanpa perempuan ini dan kesedarannya. Hakikat ini mahu aku sampaikan kepadanya sejak hari pertama lagi. Since day one. Sejak hari pertama dia lolos dari kemaluan ibunya. Tapi, menjadi Maria adalah hayat kesempurnaan. Tuhan dinafikannya. Apatah lagi aku.

Tanpa Maria di bawah kaki, aku melihat dunia dengan pandangan dan sorot mata lebih rendah. Lebih sempit. Barangkali sesempit vagina Maria yang masih dara. Oh, Maria tidak sesuci Maryam ibu Isa tapi menurutnya dia lebih suci daripada apapun.

Matahari meninggi dan Maria belum bangun lagi. Begitu juga aku di atas bahu bidangnya yang hampir selebar sepertiga bingkai pintu bilik tidur kami. Agaknya aku manja dan terlalu mengharapkan. Sehingga segala keputusan kecil dan besar perlu ditentusahkannya dulu. Inilah musibah lahir bersama-sama. Aku tidak tahu membuat keputusan sendiri.

Tapi dunia seakan-akan memanggil-manggil sejakku ‘kehilangan’ Maria. Dengan suara menggoda. Tidak, godaan di sini bukan dalam bentuk tampang kewanitaan seperti yang sering nafsu kamu  bayangkan. Godaan dunia yang sampai kepadaku datang dalam bentuk medley lagu-lagu yang terdengar dari sebuah tempat yang jauh. Aku mahu cuba meneka salah satu lagunya sebagai dinyanyikan Tommy Page, A shoulder to cry on. Yang diminati kami berdua sejak lebih dua puluh lima tahun lalu.

Maria masih belum jaga. Haruskah aku meninggalkannya dan menuju ke tempat Tommy menyanyi? Godaannya begitu kuat. Dan aku tidak kuat menahan.

Namun aku memutuskan kekal di sisi Maria untuk beberapa ketika. Sekonyong-konyong nyanyian Tommy perlahan-lahan mengabur sebelum hilang. Buat seketika aku berasa menyesal. Keputusanku kekal dengan Maria mungkin telah mengorbankan penyanyi lelaki pujaan kami.

Dunia datang lagi dengan godaan seterusnya. Kali ini dalam bentuk seorang ahli politik wanita. Genit dan manja. Malah menjadikan lagu dangdut sebagai hiburan santai pengisi masa senggang. Membuatkan aku tertanya-tanya sekaligus mahu ketawa. Kebodohan apakah dunia tawarkan kepadaku dengan godaan seperti ini? Sama sekali tidak aku terpancing. Aku tidak ghairah dengan politik. Dengan peminat lagu seberang apatah lagi. Tidak dinafikan semangat nasionalismeku agak tinggi.

Tapi aku tersilap kerana terlalu memandang rendah kepadanya. Wanita ini hanya perlu membuka mulut atas dan bawah, dan aku telah pun terdorong untuk mengikutinya dalam sekelip mata. Dia amat kelihatan seperti Maria dalam konteks ini – pesonanya, dan kemampuan mempengaruhi orang tanpa terlalu mencuba.

Beberapa ketika kemudian kudapati Maria telahpun kutinggalkan. Jauh. Aku kini membuntuti wanita genit ini yang sejak tadi masih belum menutup mulutnya. Walau tidak tahu ke mana dia ingin membimbingku; ke arah kebaikan atau kejahatan, aku tidak terasa ragu menyerahkan nasib ke dalam tangannya yang lembut. Diiringi irama dangdut kontemporari bernuansa Islami, aku mengikutinya seperti seorang suami yang telah disumpah lewat kangkangan isteri di atas nasi.

Selama enam puluh tahun bersama Maria belum pernah aku rasai pengalaman berada di awang-awangan seperti ini. Aku dipenuhi harapan. Dan keghairahan. Lebih penting, perempuan ini pandai berkata-kata manis, sifat yang berlawanan dengan Maria yang bilangan kata-katanya boleh dibilang dengan jari dari sebelah tangan. Aku menamakannya As. Bukan kerana nama itu yang disebutkannya, tapi lantaran tidak sempat aku bertanya akibat mulutnya yang sentiasa membuak-buak dengan kata-kata.

As belum berhenti bercakap ketika kami tiba di satu padang yang dipenuhi selautan manusia. Ini pengalaman baru bagiku. Maria tidak pernah ke tempat sebegini. Tempat-tempat dikunjungi Maria yang punya ramai orang hanyalah premis-premis berlampu suram sekitar Bukit Bintang dan Jalan Imbi.

Aku mencerap keseluruhan padang seluas stadium mini itu seperti helang sewah memburu mangsa. As mendorongku turun. Aku keberatan kerana berasa sayang meninggalkan tempat tinggi, tapi siapa yang boleh menepis tangan seorang perempuan?

Mendekati padang, suara-suara teriakan menembak gegendang telingaku seperti anak panah dilancarkan. Marah, galak, dan berat. Kami mendarat dengan laju bukan kerana mahu cepat tiba tapi tarikan graviti di sini terasa lebih kuat daripada di tempat lain.

Tiba di tanah, aku tersadung jatuh. As tidak menunggu sebaliknya berlari meninggalkanku. Dia kelihatan mahu cepat-cepat tenggelam dalam lautan manusia bersuara petir. Dia hilang dari pandangan bersama-sama matahari yang terbenam ke ufuk barat. Serentak harapan dan keghairahanku hilang apabila kegelapan mula menelan kami perlahan-lahan.

Malam muncul mendadak tanpa sempatku melaras mata. Di manakah As? Dia yang membawaku ke sini. Adakah dia seperti perempuan tipikal meninggalkan lelaki yang separuh hati telah tersihir dengan kenaifannya? Atau dia sebenarnya perempuan jahat bermuka muslimah sejati dengan misi menghancurkan seribu lelaki?

Lapis-lapis kegelapan menimpaku berat. Untuk satu tempoh yang lama aku berasa seperti berada di dalam kubur. Sehinggalah aku mendengar laungan azan Subuh yang tidak biasa, walau jaraknya benar-benar seperti dari masjid ke apartmenku. Ia kurang mendayu-dayu, biarpun kelembutannya tak dapat dikalahkan mana-mana muazin. Hanya sehingga satu atau dua patah kata lagi sebelum azan selesai barulah dapat aku meneka bahawa ia dilaungkan Maria. Dan aku terus meluncur pulang ke apartmen bertemu Maria yang sudah bangun, meloncat naik ke atas bahu bidangnya, kembali menjalankan fungsi sebagai penemannya memerhatikan dunia.


Pengarang :