SELANGOR

E-TAISIR: Komitmen LZS salur bantuan makanan bulanan buat asnaf

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 6 SEPT: Seramai 113 penerima terdiri daripada golongan fakir dan miskin menyertai Program Taklimat serta Praktikal Pembelian Bantuan Makanan Bulanan (E-TAISIR), anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS), di sini, semalam.

LZS menerusi kenyataan ringkas di Facebook berkata, program yang memasuki siri ketiga itu bertujuan memberi pencerahan dan kefahaman kepada penerima mengenai bantuan E-TAISIR serta kaedah pembelian barangan.

“Melalui E-TAISIR ini, penerima bantuan makanan bulanan boleh mengambil barang keperluan di pasaraya terpilih mengikut kadar ditetapkan.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak kami dalam menyantuni keperluan asasi golongan memerlukan,” katanya.

LZS turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengeluar zakat dan berharap rezeki mereka terus subur dengan tertunainya ibadah zakat berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya komited dalam meneruskan operasi rutin bersifat cari, siasat dan bantu bagi mengenalpasti individu atau keluarga memerlukan bantuan serta disenaraikan sebagai asnaf fakir, miskin juga mualaf.


Pengarang :