SELANGORSUKANKINI

EPL: Liverpool terus kekalkan rekod tanpa kalah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 SEPT: Liverpool mengekalkan rekod bersih lima perlawanan awal Liga Perdana Inggeris apabila melakar kemenangan 1-2 menewaskan Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan.

Menguasai permainan sejak minit pertama, The Reds bagaimanapun hanya membuka tirai jaringan pada minit-39 hasil tandukan Georginio Wjanaldum selepas bola melepasi garisan gol walaupun ditepis keluar penjaga gol Spurs, Michel Vorm.

Bersambung babak kedua, Spurs nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Lucas Moura yang melakukan percubaan ke sebelah kiri tetapi tidak menepati sasaran.

Liverpool menjadikan kedudukan 0-2 pada minit ke-54 hasil tolakan Roberto Firmino yang mudah menolak masuk bola selepas tolakkan awal Sadio Mane gagal dikeluarkan kemas pertahanan tuan rumah.

Mohamed Salah yang dirantai kemas pertahan Spurs sepanjang permainan turut mencuri perhatian pada minit ke-80 menerusi rembatan kaki kiri yang berjaya ditampan kemas Michel Vorm.

Spurs hanya berjaya merapatkan jurang jaringan 1-2 pada minit akhir masa tambahan menerusi rembatan kaki kiri Eric Lamela bagi menewaskan Alisson Becker di gawang Liverpool.

Jaringan itu sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Liverpool yang kini terus menghuni tangga teratas liga dengan 15 mata selepas lima perlawanan.


Pengarang :