SELANGOR

Exco ganti Allahyarham Shaharuddin belum muktamad

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Calon Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan bagi mengantikan Allahyarham Prof Shaharuddin Badaruddin belum dimuktamadkan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan memutuskan nama calon dalam tempoh terdekat.

“Kita perlu masa sedikit lagi. Kita belum menghantar nama kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

“Ada beberapa nama tetapi belum dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan meja bulat Belanjawan 2019: Pendidikan dan Modal Insan di Hotel Grand Bluewave, di sini.

Pada Ogos lalu, Allahyarham Shaharuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, meninggal dunia di Hospital Putrajaya.

Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin dari KEADILAN memenangi kerusi DUN Seri Setia selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yusoff M Haniff dengan memperoleh sebanyak 29,250 undi.

Beliau mengalahkan Yusoff yang memperoleh 9,878 undi selain calon Pas, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas, S Vigneswaran (217).


Pengarang :