PBTSELANGOR

“Family Integrity Walk” MBSA lahir masyarakat sihat

SHAH ALAM, 4 SEPT: Seramai 500 peserta memeriahkan “Family Integrity Walk” anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini, pada 2 September lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu adalah aktiviti rekreasi dan riadah untuk melahirkan warga Shah Alam yang sihat dan cergas.

“Ia juga untuk memperkenalkan Unit Integriti MBSA kepada orang ramai dan mengeratkan silaturahim.

“Bagi memeriahkan program ini, turut diadakan pertandingan “Keluarga Ceria” dengan peserta mengambil swafoto kreatif bersama ahli keluarga dan memuat naik di Instagram.

“Pemenang menerima hamper bernilai RM80 untuk tempat pertama, hamper RM70 (kedua), hamper RM50 (ketiga) dan hamper RM40 (keempat serta kelima),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, katanya, MBSA turut menganjurkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan mengurangkan penggunaan kenderaan di atas jalan raya yang menyebabkan pelepasan gas karbon monoksida yang boleh mencemar alam.

Shahrin berkata, langkah itu juga selaras dengan hala tuju MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya rendah karbon, menjelang 2030.

“Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan untuk memeriahkan program ini antaranya pelepasan peserta bagi acara berbasikal, berjalan kaki, zumba, persembahan pentas oleh kombo MBSA dan pemeriksaan kesihatan percuma.

“MBSA juga menyediakan permainan wall climbing, cabutan bertuah, kostum paling kreatif, mobile library, food truck, tourism street dan lain-lain,” katanya.

Program dirasmikan Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

 


Pengarang :