SELANGOR

Fazley Yaakob rangkul anugerah cemerlang SIBS 2018

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 12 SEPT: Usahawan dan selebriti chef terkenal, Dato’ Fazley Yaakob, antara selebriti yang menyokong penganjuran Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2018, kali ini.

Katanya, SIBS berkeupayaan membawa Selangor ke mata dunia, sehingga membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.

“Saya amat berharap SIBS akan datang disertai lebih ramai peserta kerana penganjurannya membolehkan kita mengetengahkan bakat pada masyarakat di luar sana,” katanya kepada SelangorKini.

Pada acara sama, Fazley yang juga Pengasas Suka Sucre Bistro berjaya merangkul Anugerah Cemerlang bagi Kategori Gaya Hidup (Makanan dan Minuman).

Katanya, beliau sentiasa berusaha menginovasikan makanan Malaysia dan membawanya ke mata dunia.

“Antara rancangan saya pada masa akan datang ialah memperkenalkan makanan Malaysia yang dimasak dengan cara lebih sihat seperti masak lemak menggunakan susu soya dan asam pedas yang dimasak menggunakan minyak zaitun.

“Selain lebih sihat, saya yakin ia mampu mengubah gaya hidup rakyat Malaysia untuk mengurangkan statistik obesiti,” katanya.


Pengarang :