EKONOMI

Firma perkapalan digesa cari jalan tangani tarif perdagangan dan sekatan import

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Firma perkapalan kontena bersama dengan pemain lain dalam industri kabotaj digesa berusaha bersungguh-sungguh dan mencari jalan menangani perang tarif, sekatan import dan sekatan perdagangan bagi mengekalkan perniagaan mereka dalam industri yang telahpun berdepan tekanan dengan pelbagai cabaran sedia ada.

Dalam membuat gesaan itu, Esben Poulsson, Presiden Persatuan Perkapalan Singapura memberi tahu Bernama hari ini peningkatan ketegangan perdagangan yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat (AS) selepas ia mengenakan tarif bernilai berbilion dolar ke atas eksport dari China, ‘berpotensi mengubah corak barangan didagangkan.’

Jika mereka mendapati mahal untuk mengeksport secara terus ke pasaran Amerika disebabkan oleh tarif itu, pengeluar dan pemain China dalam sektor maritim boleh menggunakan Malaysia atau negara-negara Asia Tenggara seperti Vietnam untuk mengeluarkan barangan mereka di pasaran-pasaran ini, menampalkan label berbeza dan mengeksport barangan mereka ke AS, katanya.

Beliau menekankan bahawa ancaman perang perdagangan boleh membawa kesan negatif kepada industri perkapalan dan walaupun agak kecil dan tidak ketara, namun ia boleh menjejaskan sentimen yang menyebabkan pelabur tidak membuat perancangan pelaburan dan sebagainya.

Memberi contoh Russia, beliau berkata walaupun negara itu mengenakan pelbagai sekatan, syarikat dan negara-negara lain masih boleh berurusniaga dengan mereka.

Dengan perang perdagangan yang makin meruncing, beliau berkata pasaran akan lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan.

“Lebih baik kita tangguhkan dulu (rancangan pelaburan) kerana kita tidak tahu sejauh mana (perang perdagangan) ini akan berlaku dan terdapat beberapa petunjuk yang ancaman itu ada membawa kesan,” katanya.

Para pelabur dan pasaran global berhati-hati dan gelisah kerana mereka sentiasa menerima perkembangan baharu tambahan tarif oleh Washington dan langkah-langkah tindak balas oleh Beijing, katanya.

“Langkah saling berbalas mengenakan tarif oleh ekonomi-ekonomi besar boleh menjejaskan hubungan perdagangan global,” katanya.

Melihat kepada keadaan yang tidak menentu itu, Poulsson berkata “Jelas sekali perang perdagangan atau ancaman perdagangan memberikan kesan negatif kepada sektor perkapalan dan kita berharap perang perdagangan besar-besaran dapat dielakkan kerana sejarah jelas menunjukkan tidak ada pemenang dalam sebarang perang perdagangan, kerana semuanya adalah mereka yang kalah.

“Perdagangan bebas memberi sumbangan besar kepada kemakmuran di seluruh dunia dan sumbangan sektor perkapalan sebagai ‘penyedia khidmat perdagangan dunia’ tidak lagi perlu dijelaskan dan telah terbukti penting,” katanya.

Beliau berkata perkapalan pada dasarnya adalah perniagaan global, terdiri daripada pengendali tempatan, serantau dan pesisir pantai.

“Semua pasaran agak mencabar, termasuk kapal penyediaan luar pantai, yang berdepan isu lebihan bekalan, lebihan tan dan lebihan kapasti yang telah memberi tekanan tambahan kepada kadar sewa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan pasaran adalah lebih baik berbanding sebelum ini, dengan menyebut pada 2016 berlaku kemerosotan dalam kontena pukal kering.

Walaupun, situasi itu telah bertambah baik, namun keuntungan dan pulangan masih lagi lemah, katanya.

“Ini, ditambah dengan masalah lebihan kapasiti dalam kebanyakan segmen industri perkapalan dan peraturan bagi pelepasan karbon menjadikan keseluruhan industri sangat tertekan dan sukar,” katanya.

Poulsson berkata industri perkapalan dijangka terus kekal berada dalam tekanan dengan masalah muflis, penyusunan semula dan pelbagai penggabungan dalam segmen kontena oleh syarikat perkapalan utama telah menjadi trend yang tidak dapat dielakkan memandangkan kadar fret telah menjadi terlalu rendah, menyukarkan untuk mereka terus kekal mampan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :