Selangorkini
SELANGOR

Gangguan bekalan air di Pulau Ketam beransur pulih

ccsb-ads

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerja penggantian dan penyambungan paip pecah dasar laut, di Terusan Bagan yang membekalkan air kepada pelanggan di Pulau Ketam, Bagan Teo Chew dan Sungai Lima siap dilaksanakan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Abdul Raof Ahmad berkata, bekalan air juga sudah diaktifkan bagi proses pemulihan berperingkat.

“Pihak kami ingin memohon maaf kepada pelanggan dan penduduk yang terjejas sepanjang tempoh gangguan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama semua,” katanya dalam kenyataan.

Untuk maklumat dan status terkini berkenaan gangguan bekalan air dan pengebilan, orang ramai boleh memuat turun aplikasi telefon bimbit pintar “Air Selangor” di Google Play atau AppStore.

Terdahulu, media melaporkan penduduk di tiga kawasan itu mengalami gangguan bekalan air ekoran proses kerja pembaikan paip dasar laut yang pecah di Terusan Bagan, pada 4 September lalu.

Kejadian itu menyebabkan bekalan air kepada kira-kira 6,000 penduduk di Pulau Ketam, Bagan Teochew dan Sungai Lima terjejas.


Pengarang :