NASIONAL

Gempa Hokkaido: 16 terkorban, 26 masih hilang

TOKYO, 7 SEPT: Sekurang-kurangnya 16 terkorban dalam kejadian gemba bumi di uatara pulau Hokkaido sementara 26 lagi masih hilang, kata Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, hari ini.

Lebih separuh daripada 5.3 juta penduduk pulau itu terputus bekalan elektrik selain berdepan ancaman tanah runtuh yang memusnahkan kediaman ekoran gempa berkekuatan 6.7 magnitud itu.

Terdahulu, Hokkaido Electric Power Co terpaksa menutup logi kuasanya sebagai langkah berjaga-jaga.

Setakat ini, 1.31 juta daripada 2.95 juta pelanggannya sudah menerima bekalan elektrik, kata Kementerian Ekonomi Perdagangan dan Industri.

Menteri Industri, Hiroshige Seko berkata, kuasa elektrik akan kembali pulih sepenuhnya dalam masa sekurang-kurangnya seminggu.

Gempa bumi itu adalah bencana besar kedua melanda Jepun minggu ini selepas dipukul taufan, banjir dan gelombang haba.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai masih ditutup selepas Taufan Jebi membadai Osaka pada Selasa, namun beberapa penerbangan tempatan kendalian Japan Airlines (JAL) dan penerbangan tambang murah, Peach Aviation kendalian ANA kembali beroperasi hari ini.

Lapangan terbang utama Hokkaido, New Chitose sedang membuat persiapan untuk menggerakkan beberapa penerbangan sekitar jam 11 pagi hari ini, kata seorang jurucakap.

Operasi kereta api laju juga akan disambung semula tengah hari ini. Bagaimanapun, kebanyakan sektor perkilangan masih terjejas akibat gangguan bekalan elektrik. – Reuters

Foto Kredit : ABS-CBN News


Pengarang :