GLOBAL

Habuan hampir RM300,000 untuk maklumat pensabotaj strawberi

SYDNEY 17 SEPT: Sebuah negeri di Australia menawarkan ganjaran lumayan untuk maklumat selepas sejumlah jarum peniti ditemui di dalam buah strawberi yang dijual di beberapa pasar raya dalam insiden yang disifatkan sebagai ‘jenayah kejam’.

Isu itu mendapat perhatian minggu lalu apabila seorang lelaki dibawa ke hospital kerana mengalami sakit perut selepas memakan buah strawberi yang dibelinya dari sebuah pusat raya di negeri Queensland.

Sejak dari itu, orang ramai memuat naik gambar buah strawberi lain bersama jarum-jarum kecil tercucuk di dalamnya.

Beberapa jenama strawberi yang ditanam di Queensland juga telah ditarik balik dari pasar-pasar raya, manakala berbilang laporan tentang kes serupa dibuat di negeri New South Wales dan Victoria.

“Sesiapa yang menjadi dalang di sebalik insiden ini bukan sahaja membahayakan keluarga di Queensland dan seluruh Australia, mereka juga boleh menejejaskan seluruh industri ini,” kata Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk.

Kerajaannya menawarkan ganjaran tunai berjumlah A$100,000 (RM295,914) untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapan dan pendakwaan mereka yang bertanggungjawab.

“Saya menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini supaya menghubungi pihak polis dengan segera,” tambahnya.

Sementara itu, Polis Queensland memberitahu badan penyiaran awam, ABC bahawa perbuatan mensabotaj buah strawberi itu yang biasanya dijual dalam peket plastik kecil, jelas dilakukan untuk ‘mendatangkan kecederaan kepada sesiapa yang memakannya’.

SUMBER: AFP


Pengarang :