SELANGOR

Halimey: Faktor cuaca & cuti panjang, punca peratusan mengundi rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 8 SEPT: Faktor cuaca dan cuti panjang antara punca utama yang menyebabkan peratusan mengundi rendah, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Bagaimanapun beliau berkata, semua jentera parti sudah melaksanakan kerja sebaik mungkin, bahkan pihaknya turut menyasarkan 60 peratus pengundi akan keluar mengundi kali ini.

“Seperti saya maklum, cuti panjang ini yang menakutkan dan itulah hasilnya.

“Namun saya tidak fikir perkara itu berlaku disebabkan oleh boikot ataupun janji 100 hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sidang Media selepas Pengumuman Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, di Dewan MBPJ, di sini, hari ini.

Terdahulu, Halimey menepati ramalan untuk terus mengekalkan kerusi apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dengan majoriti 4,027 undi berbanding PAS.

Beliau memperoleh 13,725 undi menewaskan calon PAS Dr Halimah Ali dengan 9,698 undi.

Kemenangan Halimey itu diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK Seri Setia Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.


Pengarang :