SELANGOR

Halimey jangka 80 peratus keluar mengundi

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 SEPT: Calon Pakatan Harapan (Pakatan) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menjangkakan peratusan 60 peratus pengundi akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 8 September depan.

Halimey Abu Bakar berkata, selain berkempen seperti biasa, beliau dan jenteranya sentiasa mengingatkan supaya pengundi turun pada tarikh itu.

“Selepas PRK DUN Sungai Kandis 4 Ogos lalu, PH memperbaiki kelemahan bagi memastikan lebih ramai menunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya dan jentera turun berkempen dan sentiasa mengingatkan pengundi mengenai tarikh 8 September ini,”katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini.

Beliau berkata, kira-kira 80 peratus kawasan DUN yang ditandingi itu kini sudah dilawatinya.

Halimey menganggap sambutan itu menggalakkan dan kebanyakan daripada mereka menyatakan sokongan bagi mengekalkan kemenangan Pakatan.

“Kita juga memberi komitmen dalam memastikan semua program khususnya Inisiatif Peduli Rakyat berjalan lancar.

“Saya juga akan pastikan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Setia dapat digembleng secara aktif supaya lebih ramai dapat menikmati faedah yang ditawarkan,” katanya.

PRK DUN Seri Setia dilaksanakan 8 September ini susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia 2 Ogos lalu akibat kanser usus.

 


Pengarang :