SELANGOR

Halimey: Keluar sebelum 12 tengah hari

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 SEPT: Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar merayu kepada seluruh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia untuk keluar mengundi sebelum jam 12 tengah hari.

Halimey berkata, ekoran keadaan cuaca yang kurang baik, maka beliau menasihatkan kepada semua pengundi keluar awal untuk mengundi.

“Jangan tunggu sehingga petang, cuaca pun agak mendung jadi saya merayu kepada pengundi DUN Seri Setia keluarlah sebelum jam 12 tengah hari.

“Setakat ini, saya difahamkan pengundi di Seri Setia masih kurang dan tidak sama seperti sasaran pihak Suruhanjaya Pilihan Raya. Jadi, tolonglah keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini di pusat saluran mengundi Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam, di sini, hari ini.

Sebanyak 16 pusat mengundi PRK N.32 DUN Seri Setia sudah mula dibuka dengan 109 saluran membabitkan jumlah pengundi keseluruhan 53,492 orang.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

DUN Seri Setia diisytiharkan kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya, sejak dua tahun lalu.


Pengarang :