SELANGOR

Halimey mahu promosi gaya hidup sihat melalui sukan

 

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 6 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berhasrat membuka sebuah akademi sukan di peringkat DUN sebagai usaha memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat menerusi program Sukan Untuk Rakyat.

Katanya, gaya hidup kurang sihat termasuk corak pemakanan tidak menentu mendorong seseorang mudah menghidapi penyakit dan langkah segera mesti diambil bagi mengatasi perkara itu.

Menyedari perkara itu, beliau bercadang melantik jawatankuasa dalam kalangan petugas Pusat Khidmat Masyarakat, ketua komuniti dan pakar dalam setiap jenis sukan bagi bersama menjayakan program berkenaan pada setiap minggu jika dipilih selaku Ahli Dewan Negeri (ADN).

“Berdasarkan terdapat banyak kawasan lapang di DUN Seri Setia ini, saya percaya rancangan ini tidak akan berdepan halangan. Pelbagai jenis sukan seperti senamrobik, Zumba, Tai Chi dan Silat dan Muay Thai boleh dipraktikkan sempena program sukan untuk rakyat itu.

“Penduduk setempat digalakkan menyertai program ini beramai-ramai bagi tujuan riadah dan menyihatkan badan. Selain mampu menghindarkan pelbagai penyakit yang berbahaya, penyertaaan penduduk pada program itu akan menjadi wadah merapatkan lagi silatulrahim dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

“Saya juga bercadang memberi perhatian serius untuk mempromosikan sukan berprestasi tinggi seperti bola sepak, sepak takraw dan badminton,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebagai salah seorang penggemar aktiviti berbasikal, Halimey juga akan mempertimbangkan program ini di dalam perancangan memajukan sukan di DUN Seri Setia.

“Selain sukan rakyat dan sukan berprestasi tinggi, saya dapati sukan berbasikal juga semakin diminati masyarakat sejak kebelakangan ini. Ini adalah petanda baik ke arah melahirkan masyarakat bersukan.

“Berbasikal juga antara senaman terbaik yang perlu diamalkan dan diberi sokongan secara berterusan,” katanya.

 


Pengarang :