SELANGOR

Halimey sedia isytihar harta

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengisytiharkan harta seperti yang dikehendaki oleh Pas dan Umno.

Bagaimanapun beliau berkata, tindakan mengisytihar harta hanya boleh dibuat selepas tamat PRK ekoran kesuntukan masa disebabkan hari pengundian akan berlangsung esok.

“Terima kasih atas pandangan dia, saya sedia isytihar harta,” katanya pada sidang media hari terakhir kempen PRK Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PAKATAN di sini, hari ini.

Halimey berkata demikian selepas Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir yang memaklumkan bahawa parti Islam itu dan Umno sepakat mahukan kedua-dua calon PRK DUN Seri Setia mengisytiharkan harta masing-masing.

Mengulas peluang untuk menang, Halimey yakin beliau mampu meraih sebanyak kira-kira 96 peratus sokongan daripada pengundi di DUN ini.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan kelebihan beliau sebagai anak jati Seri Setia, rekod pengalamannya selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan mood rakyat yang menyokong Kerajaan PAKATAN Selangor.

“Dengan testimoni ini sekali lagi InshaAllah saya percaya segala usaha menjaga kepentingan DUN Seri Setia akan dapat dilakukan,” katanya lagi.


Pengarang :