SELANGOR

Halimey sindir Halimah, “Undi di mana esok?”

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 7 SEPT: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar dijangka akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Kampung Desa Hormat, pada jam 8.30 pagi esok.

Beliau yang merupakan anak tempatan DUN itu sempat menyindir calon PAS, Dr Halimah Ali ekoran bukan anak tempatan di kawasan terbabit.

“Saya akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan dan media bolehlah tanya Dr Halimah beliau akan mengundi di mana esok,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari terakhir kempen PRK Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PAKATAN di sini, hari ini.

Halimey berkata, sebagai anak jati yang dilahir dan dibesarkan di Seri Setia, beliau mampu merasai setiap degup nadi kehidupan masyarakat DUN terbabit.

Katanya, sebahagian besar pengundi Seri Setia adalah saudara mara dan rakannya dan sebahagian lain pula kenalan ibu serta bapanya.

“Di sini tempat kami menangis bersama dan di sini juga tempat kami tertawa dalam meniti kehidupan pahit serta manis,” katanya.

Halimey turut yakin pengalaman selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya memberi kelebihan kepadanya untuk memberi perkhidmatan terbaik di kawasan itu jika diberi mandat.


Pengarang :