NASIONAL

Hanya beri AP kepada syarikat terlibat kosong stockpile bauksit

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 SEPT: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bersetuju mengeluarkan lesen permit eksport (AP) dalam tempoh munasabah kepada syarikat terlibat mengosongkan stockpile bauksit yang berada dalam kawasan pelabuhan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu dicapai dalam satu sesi pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertujuan membincangkan isu berkaitan moratorium dan mendapatkan gambaran lebih holistik daripada Kerajaan Pahang berkenaan hala tuju industri tersebut, pada 7 September lalu.

Katanya, hasil daripada perbicangan itu, keputusan dibuat untuk mewujudkan satu pasukan petugas khas bagi menyediakan prosedur operasi standard (SOP) baharu berhubung perlombongan, pengangkutan, pengurusan stockpile dan pengeksportan bauksit.

“Apabila moratorium ini ditarik balik kelak, semua pihak termasuk pelombong diberikan AP perlu menandatangani suatu Piagam untuk mematuhi semua syarat ditetapkan demi memastikan industri perlombongan bauksit Pahang berjalan secara mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, Xavier berkata, moratorium perlombongan bauksit bermula pada 15 Januari tahun lepas bertujuan mengawal isu pencemaran akibat aktiviti tersebut dan disambung beberapa kali dengan yang terkini bakal berakhir pada 31 Disember depan.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan sedang merangka penyelesaian menyeluruh dalam menangani aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit di Pahang, dengan mengadakan perbincangan dengan semua pihak terlibat dalam industri tersebut.

“Perbincangan itu bagi mencari jalan penyelesaian bersifat menang-menang serta mendapatkan konsensus hala tuju yang dapat memberi harapan baharu terhadap industri bauksit di negeri itu,” katanya.

Terdahulu, kementerian turut mengadakan sesi perjumpaan bersama penggiat industri perlombongan bauksit di Pahang dan mendengar pandangan serta mendapatkan input dalam menentukan hala tuju industri perlombongan dan pengeksportan bauksit di negeri berkenaan.

Satu sesi libat urus membabitkan wakil rakyat dari Pahang dengan pihak kementerian diadakan yang dihadiri anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dari kawasan terlibat dalam pengeluaran bauksit di Pahang pada 30 Julai lepas.


Pengarang :