SELANGOR

Hari Tanpa Kenderaan MDHS Sabtu ini

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU SELANGOR, 20 SEPT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) akan mengadakan Sambutan Hari Tanpa Kenderaan bagi September, di hadapan Pejabat Pos Bandar Kuala Kubu Bharu, di sini, pada 22 September ini.

Sambutan memasuki edisi kedua itu tampil dengan tema “Sayangi Alam Sekitar”, yang membawa maksud tiada penggunaan kenderaan bermotor pada hari berkenaan.

Pegawai Komunikasi Korporatnya, Junainah Abdullah berkata, program bermula seawal jam 6.30 pagi itu sarat dengan acara menarik buat pengunjung untuk melakukan riadah seisi keluarga

“Ia termasuk larian santai sejauh 2.5 kilometer, kayuhan basikal, menaiki kereta kuda dan sukan tradisional.

“Selain itu, ada juga aktiviti ‘Skutterblade’, ‘Rollerblade’, ‘Skateboard’, ‘Hoverboard’, kereta bateri kanak-kanak, senamrobik, buskers, ‘Flee Market’, sewaan basikal, mewarna terbuka dan Supa Dupa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pengunjung juga berpeluang mendapatkan barangan secara percuma melalui ‘Eco Free Market’.

Katanya, semua barang dalam keadaan baik sekali gus meringankan beban orang ramai bagi memiliki keperluan terbabit.

“Dengan konsep tanpa pembaziran dan mengurangkan penggunaan karbon ke arah pembangunan mampan, program tidak menyediakan plastik.

“Orang ramai perlu membawa beg sendiri, urus sampah sendiri, ambil sendiri secara beradab mengikut keperluan tanpa sebarang urusan jual beli atau pertukaran barang,” katanya.

Mengulas mengenai lokasi pemilihan Kuala Kubu Bharu sebagai lokasi penganjuran, Junainah berkata, ia memandangkan kesesuainnya dari segi susun atur jalan dan bandar.

“Pengunjung berpeluang menikmati keindahan landskap dan reka bentuk bangunan bersejarah yang dirancang dengan menggunakan konsep Bandar Taman.

“MDHS turut berhasrat untuk menganjurkan sambutan ini pada minggu ketiga setiap bulan,” katanya.


Pengarang :