SELANGOR

Hasil pusat belian padi PPK Pasir Panjang catat RM2.29 juta

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEKINCHAN, 26 SEPT: Hasil pusat belian padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pasir Panjang mencecah RM2.29 juta bagi musim pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hamzah Bahari berkata, susulan kejayaan itu, sebuah lagi pusat belian padi dibina dalam kawasan sama.

Katanya, sebelum ini terdapat dua pusat belian di PPK Pasir Panjang iaitu di Tali Air 10, Pasir Panjang yang dibina, pada 1994 dan keduanya di Parit Cangkat yang dibina, pada 1995.

“Terbaru, pusat belian padi ketiga dibina di Sungai Leman, pada 2017 dan mula beroperasi sepenuhnya awal tahun ini.

“Ia sekali gus membolehkan penampungan kapasiti padi sebanyak 200 tan sehari, antara kawasan yang terbabit ialah Parit 7 Tengah, Parit 7 Baroh, Sungai Leman, Timur Parit 8 dan Tali Air 8,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pusat Belian Padi PPK Pasir Panjang, di sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub dan Ahli Dewan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim.

Hamzah berkata, PPK Pasir Panjang mempunyai 4,851 ahli didaftarkan dengan keluasan kawasan padi yang dikendalikan seluas 7,083.4 hektar.

Katanya, hasil belian padi musim pertama, pada 2018 di Sungai Leman itu berjumlah RM1,600,200 dengan berat 1,575 tan metrik.

“Untuk pemasaran belian padi biasa, PPK akan memasarkan hasil pusat belian padi ke kilang antaranya Kilang Bernas Sekinchan, Kilang Dataran Pusaka Hayat Maju dan Kilang Firmarina.

“Sementara PPK Pasir Panjang memasarkan hasil pusat belian padi ke PPK Lahar Bubu dan Felcra. LPP kini mempunyai 42 pusat belian padi di seluruh Malaysia,” katanya.


Pengarang :