NASIONAL

Honda Malaysia meterai CoC bersama KPM, Kolej Komuniti

OLEH SHEEDA FATHIL

MELAKA, 26 SEPT: Honda Malaysia Sdn Bhd (Honda Malaysia) menjalin kerjasama menerusi Sijil Kolaborasi (CoC) dengan Jabatan Pendidikan dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), di sini, semalam.

Pengurusan Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, ia bertujuan menjadikan modul latihan Honda sebagai salah satu sukatan pelajaran automotif, di 17 kolej komuniti terpilih, di sembilan negeri dalam Malaysia.

“Ia adalah inisiatif Honda Malaysia menyokong tumpuan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Vokasional Teknikal (TVET) ke arah membangunkan lebih banyak juruteknik berkemahiran, sah dan berkualiti.

“Inisiatif ini tepat pada masanya, kerana kami dapat memiliki juruteknik lebih mahir untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Honda Malaysia akan menggabungkan modul juruteknik penyelenggaraan dan pembaikan juruteknik yang diasaskan pada latihan global dalaman Honda untuk sekutunya di seluruh dunia, ke dalam kursus automotif terpilih,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Terdahulu, Ishiyama yang mewakili Honda memeterai CoC bersama Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz.

Menariknya, Ishiyama berkata, pelajar akan menerima latihan komprehensif termasuk latihan industri selama enam bulan di pengedar Honda Malaysia.

Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, CoC adalah kerjasama strategik dan menyasarkan 120 graduan setahun daripada politeknik serta kolej yang mengambil bahagian, di seluruh Malaysia.

“Kerjasama itu juga memberi peluang kepada pelajar dalam pelbagai kursus yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada juruteknik Honda.

“Pelajar kursus automotif yang terpilih nanti dijangka menamatkan pengajian dengan prospek kerjaya lebih tinggi, termasuk menjadi juruteknik Honda atau kakitangan perkhidmatan rasmi apabila menjalani latihan dan penilaian intensif,” katanya.


Pengarang :