SELANGOR

Hormat ibu bapa, guru jadi pegangan MB tuntut ilmu

OLEH AFEEQA AFEERA

BATU CAVES, 28 SEPT: Sikap menghormati ibu bapa dan guru menjadi amalan dan pegangan Amirudin Shari dalam menuntut ilmu, sejak di bangku sekolah lagi.

Dato’ Menteri Besar itu berkata, beliau masih mengekalkan hubungan baik bersama guru yang pernah mengajarnya di sekolah dan menghubungi mereka jika berkelapangan.

“Dua perkara yang menjadi pegangan saya atau jarang sekali ditinggalkan ialah dua kelompok atau manusia, iaitu ibu dan bapa serta guru.

“Ketika saya mula menceburkan diri dalam politik, saya tetap memaklumkan kepada dua kelompok penting ini dan meminta pendapat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Solat Hajat & Bacaan Yasin Perdana, di Masjid Al-Amaniah, di sini, malam tadi.

Program itu dianjurkan sebagai persediaan rohani kepada lebih 400 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK), di daerah itu.

Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting berkenaan, tidak lama lagi.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program pertama kali dianjurkan di DUN itu mendapat sambutan menggalakkan dan beliau tidak menolak bakal mengadakan program sama, pada masa akan datang.

“Sebenarnya saya aturkan untuk Pejabat DUN Sungai Tua tetapi kebetulan sesuai dengan keadaan, saya jemput seluruhnya dari kawasan sekitar.

“Menerusi program ini, kita boleh maklumkan kepada semua berhubung inisiatif yang diusahakan Kerajaan Negeri untuk sektor pendidikan, di Selangor,” katanya.


Pengarang :