GLOBAL

India lancar insurans kesihatan terbesar dunia lindungi 500 juta orang miskin

NEW DELHI 24 SEPT: India semalam melancarkan skim insurans kesihatan terbesar di dunia yang dikatakan oleh Perdana Menteri, Narendra Modi akan melindungi kira-kira 500 juta penduduk miskin.

Program insurans digelar ‘Modicare’ itu memberikan perlindungan kesihatan bernilai 500,000 rupee (RM28,541) kepada setiap keluarga miskin untuk rawatan penyakit serius.

Skim itu dijangka menyebabkan kerajaan pusat dan 29 kerajaan negeri menanggung kos AS$1.6 bilion (RM6.6 bilion) setahun, manakala pembiayaannya akan ditingkatkan secara beransur-ansur bergantung kepada permintaan.

Modi mengagihkan sejumlah kad perubatan pada majlis pelancaran skim itu di ibu negeri Jharkand, Ranchi dan berkata, ia merupakan hari bersejarah untuk India.

Beliau menganggap skim itu sebagai “langkah besar ke arah menyediakan penjagaan kesihatan mampu milik dan berkualiti kepada golongan miskin yang akan memanfaatkan lebih 100 juta keluarga.”

Sistem kesihatan awam India terbeban oleh kekurangan hospital dan doktor dengan kebanyakan rakyat memilih hospital dan klinik swasta sekiranya mampu.

Bagaimanapun, kos konsultasi klinik swasta boleh mencecah AS$15 (RM62), satu jumlah yang besar di India di mana berjuta-juta orang menerima pendapatan harian kurang AS$2 (RM8.30).

Kerajaan India menganggarkan lebih 60 peratus perbelanjaan keluarga dibelanjakan untuk ubat dan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, pakar-pakar memuji program itu tetapi berkata, ia sepatutnya merangkumi penjagaan kesihatan utama atau harian dan tidak tertumpu kepada penjagaan kesihatan sekunder untuk rawatan jangka panjang sahaja.

SUMBER: AFP


Pengarang :