EKONOMI

Industri komponen kereta Malaysia ‘paling baik’ di Asia Tenggara – pakar dari Jerman

FRANKFURT, 17 SEPT: Industri komponen kereta Malaysia telah mencapai kemajuan yang menggalakkan dan merupakan yang paling baik di Asia Tenggara, kata Michael Johannes, Naib Presiden Messe Frankfurt, penganjur pameran perdagangan komponen kereta terbesar di dunia, Automechanika.

Acara itu diadakan dua tahun sekali dan kini memasuki tahun ke-25.

Johannes turut menyentuh mengenai Pameran Perdagangan Automechanika Kuala Lumpur, edisi Automechanika di Malaysia yang akan diadakan pada Mac 2019, dan menyifatkannya sebagai pintu masuk ke rantau ASEAN bagi Messe Frankfurt.

“Automechanika Kuala Lumpur mungkin acara yang lebih kecil, tetapi dengan kualiti yang tinggi, dan dengan topik yang berorientasikan masa depan.

“Kami turut mengadakan seminar, program mengenai pelbagai projek industri dan menyediakan data dan maklumat terkini mengenai industri tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada edisi Automechanika Frankfurt.

Edisi terakhir Automechanika Kuala Lumpur – yang juga acara diadakan dua tahun sekali – menyaksikan sebanyak 246 syarikat dari 18 negara dan rantau yang mempamerkan produk mereka kepada 5,650 pengunjung dari 71 negara.

Acara pada tahun depan itu akan diadakan di bawah tema, “Sourcing, Training, Entertainment”.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :