PENDIDIKANSELANGOR

IRSYAD 2018 tangani isu globalisasi umat Islam

OLEH HAFIZAN TAIB

BANGI, 21 SEPT: The Fourth International Conference on Islamiyyat Studies (IRSYAD) terus menjadi perhatian pengkaji Islam untuk berkongsi idea dalam menangani pelbagai isu golbalisasi berkaitan Islam.

Persidangan kali keempat tahun ini dianjurkan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) melalui Fakulti Pengajian Peradaban Islam di Hotel Tenera, di sini, sebagai kesinambungan persidangan antarabangsa dalam bidang Pengajian Islamiyyat.

Dekan Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Prof Madya Dr Mariam Abd Majid berkata, persidangan sejak 2015 diteruskan dengan IRSYAD 2018 bertemakan “Dignifying Islamic Studies Toward Globalisation”.

“Ia bertujuan meningkatkan pembangunan penyelidikan dalam kalangan pengkaji Islam serta berkongsi hasil dapatan di peringkat antarabangsa khususnya dalam menangani pelbagai isu globalisasi berkaitan umat Islam dan merungkai permasalahan serta dilema dihadapi umat Islam masa kini.

“Kita menjemput pembentang dari dalam dan luar KUIS serta peringkat antarabangsa membentangkan hasil penyelidikan berkenaan dakwah, bahasa, komunikasi, hadis, konflik rumahtangga, hudud, liberalisasi dan zina.

“Hasil pembentangan inilah kita dapat berkongsi pengetahuan dengan semua peserta,” katanya.

IRSYAD 2018 kali ini disertai 98 pembentang dan tiga peserta daripada KUIS, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya, Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej Islam Sultan Yahya Petra, Universiti Teknologi MARA, Madrasah Al-Sagoff, Singapura dan Kogi States University, Anyigba Nigeria.

Tarikan kepada IRSYAD 2018 apabila menyaksikan perjanjian kerjasama (MoC) termeterai antara KUIS dengan Persatuan Perubatan, Pengubatan & Kebajikan Islam (Darussyifa’).

“Kerjasama ini adalah untuk melaksanakan program Diploma Eksekutif Perubatan Islam buat julung kalinya di Malaysia,” katanya.

Persidangan dua hari itu dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Insan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Dato Paimuzi Yahya; Timbalan Rektor Pengurusan Korporat KUIS, Dr Zulkifli Abd Hamid; Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Ramal, Mazwan Johar dan Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Islam Universiti Utara Malaysia; Profesor Dr Asmadi Mohd Naim.

Antara penaja menjayakan persidangan IRSYAD 2018 ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (SKA), JAKEL, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tabung Amanah Pembangunan Islam Negeri Selangor (TAPIS), KUISCELL Sdn Bhd, Sapura Energy dan Poliklinik An-Nur.


Pengarang :