GLOBAL

Israel sasar peluru berpandu ke Damsyik

DAMSYIK 16 SEPT: Serangan peluru berpandu Israel yang mensasarkan lapangan terbang di ibu kota Syria lewat semalam mengaktifkan pertahanan udara yang menembak jatuh beberapa roket berkenaan, lapor agensi berita SANA.

“Pasukan pertahanan udara kami bertindak balas kepada serangan peluru berpandu Israel di lapangan terbang antarabangsa Damsyik dan menembak jatuh beberapa daripadanya,” kata sumber tentera yang dipetik SANA.

Agensi itu, tanpa memberitahu sebarang maklumat mengenai kematian atau kerosakan, menyiarkan rakaman dan imej pertahanan udara diaktifkan.

Dalam video yang bergoyang, letupan kecil dan terang dilihat pada langit pada waktu malam.

Wartawan AFP di Damsyik mendengar letupan kuat lewat semalam, disusuli dengan beberapa letupan kecil.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) yang beribu pejabat di Britain, berkata serangan semalam terkena depo senjata di luar lapangan terbang itu.

“Peluru berpandu itu, disyaki dibedil Israel, memusnahkan depo senjata berhampiran lapangan terbang antarabangsa Damsyik,” kata ketua SOHR, Rami Abdel Rahman.

Israel berikrar menghalang musuh ketatnya, Iran, yang menjadi penyokong utama kerajaan Syria, daripada bertapak di negara jirannya itu.

Awal bulan ini, Israel mengaku melancarkan lebih 200 serangan di Syria sejak 18 bulan lalu, terutama terhadap sasaran Iran.

SUMBER: AFP


Pengarang :