BERITA UTAMASELANGOR

Isu tanah peneroka Ijok hanya mahu tutup kelemahan BN

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 2 SEPT: Isu tanah peneroka mukim Ijok yang digembar-gemburkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 oleh Barisan Nasional (BN) sebenarnya adalah untuk menutup kelemahan mereka sahaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sentimen terbabit hanya dimainkan sebagai langkah jangka pendek bagi menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.

“Kita sangat konsisten daripada awal membuktikan bahawa tiada sebarang keraguan ataupun perkara di luar batas undang-undang yang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah tanah ijok.

“Jawapan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), malahan cukup jelas membuktikan bahawa yang kita selesaikan adalah masalah tertunggak yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

“Kita juga mengambil insiatif untuk selesaikan dengan konsep menang-menang, iaitu penduduk yang tidak dapat rumah dapat rumah dan mereka yang belum dapat pampasan akan dapat pampasan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti dan Hari Terbuka UNISEL, di sini, malam tadi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, mengesahkan siasatan terhadap kes berkaitan isu tanah di Mukim Ijok telah selesai, malahan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes terbabit.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengamalkan prinsip pentadbiran lebih telus dengan menunjukkan cara terbaik bagi meletakkan kepercayaan kepada rakyat.

“Buktinya, lebih 1,000 peneroka yang terkesan daripada kes ini kita dapat selesaikan dan sebab itulah majoriti rakyat dapat menerima baik penjelasan kita,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Badan Bertindak Asal Peneroka Tanah Ijok membuat laporan kepada SPRM kerana mengesyaki berlaku penyelewengan oleh beberapa individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian penyelesaian berhubung kes tanah berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Jawatankuasa itu mendakwa, pihaknya mengesyaki individu terbabit ada menerima suapan untuk kompromi hak dan kepentingan peneroka di kawasan itu.


Pengarang :