SELANGOR

Jelajah Maju Bersama bangun ekonomi, makmur negeri

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Jelajah Maju Bersama yang dimulakan di Sepang bertujuan mengajak rakyat membangunkan ekonomi dan mengekalkan kemakmuran negeri secara bersama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, jelajah di setiap pelusuk negeri itu turut mengajak rakyat membantu antara satu sama lain ke arah menjadi komuniti penyayang.

“Kerajaan Negeri mahu anak-anak muda dapat bersama-sama kita kali ini untuk bersama membangunkan negeri tanpa meninggalkan komuniti lain.

“Sikap ini perlu ditanamkan dalam diri masyarakat semua penduduk. Menjaga kebajikan bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi secara bersama dengan semua latar belakang untuk merakyatkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Inisiatif Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai, Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Amirudin berkata, pembangunan yang tidak mengabaikan masyarakat akan membina gedung yang besar dalam membina pelbagai aspek ekonomi.

Pada masa sama, beliau percaya pencapaian ekonomi negara akan jatuh sekiranya ekonomi Selangor berada dalam keadaan kurang memuaskan.

“Sebagai contoh, pada 2017 ketika ekonomi berdepan pelbagai persoalan, tetapi ekonomi negara berada pada 5.9 peratus dan masih baik. Ini hasil daripada sumbangan Selangor.

“Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab semu pihak memastikan prestasi cemerlang ekonomi kita dan dalam masa sama, penduduk menikmati pembangunan ini,” katanya.

 


Pengarang :