BERITA UTAMASELANGOR

‘Jelajah Maju Bersama’ pendekatan terbaharu Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 SEPT: Jelajah Maju Bersama merupakan pendekatan terbaharu Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang menjadi mata dan telinga sekali gus, sumber penyelesaian tuntas terhadap permasalahan rakyat di negeri itu.

Amirudin berkata, pendekatan itu juga bagi menyemarakkan lagi semangat kerjasama dan kebersamaan pemimpin bersama rakyat termasuk ketua kampung, badan bukan kerajaan (NGO) dan penjawat awam di peringkat daerah.

Katanya, Kerajaan Negeri akan memastikan setiap daerah tidak tercicir dalam enam kluster pintar sedia ada yang membabitkan pendidikan, pekerjaan, perumahan, kekeluargaan, kesihatan dan kebajikan.

“Dengan hasrat mahu merakyatkan ekonomi supaya ia dapat dikongsi bersama, saya percaya hanya dengan mendekati rakyat dan pemimpin akar umbi dapat menyerlahkan keberkesanan kerjasama erat pemimpin bersama rakyat.

“Ia tidak hanya bersifat ‘one stop’ malah ia akan disemarakkan ke sembilan buah daerah di negeri Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Klang, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

“Melalui program ini, kesemua sembilan daerah di negeri ini akan dapat lebih merakyatkan pentadbiran. Lebih penting untuk kita kenalpasti adalah hasil limpahan ekonomi dapat dirasai segenap lapisan,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin berkata, ia merupakan jawapan terbaik dan aduan yang terbuku serta membebani rakyat selama ini dapat terus disalurkan tanpa sebarang birokrasi.

“Sebelum ini ramai yang menyuarakan masalah yang dihadapi terutama dalam era media sosial tetapi berakhir dengan ratusan komen yang mempertikaikan kecekapan tindakan diambil.

“Apabila hasil daripada maklumat susulan, ia menunjukkan bahawa aduan permasalahan itu tidak disalurkan kepada saluran yang betul,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu rakyat mengikis prasangka lama yang menyatakan wujudnya daerah terpinggir atau disisihkan dari arus pembangunan.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu lagi ada sebilangan rakyat merasakan dipinggirkan dan tidakmendapat pembelaan sewajarnya.

“Sudah banyak kita dengar dan lihat kisah-kisah menyayat hati sebilangan masyarakat negeri ini, membabitkan wanita, ibu tunggal, kanak-kanak dan warga emas. Kita tidak mahu menjadi tangan yang hanya membantu dan kemudian berlalu pergi tanpa tindakan susulan diambil.

“Negeri itu wujud kerana wujudnya rakyat di dalamnya, dan rakyat itu wujud kerana terdapat hasil bumi dan keselesaan di dalamnya. Jadi sudah menjadi satu kewajipan pemimpin yang dipilih rakyat untuk memastikan keselesaan dan kemakmuran itu terjamin,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu usaha mengekalkan keselesaaan dan menjadikan Selangor sebagai sebuah ‘Lembah Kemakmuran’ terulung di negara ini terus diperkasakan.

“Terdapat beberapa sektor utama dikenalpasti untuk dibangunkan di setiap daerah dan ia diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan masyarakat dan ekonomi dan merealisasikan hasrat negeri Selangor untuk menjadi ‘Regional Smart State’ di Asia Tenggara,” katanya.


Pengarang :