GLOBAL

Jerman rayu EU bantu tambah dana Palestin

VIENNA 1 SEPT: Jerman akan menyediakan dana tambahan untuk agensi pelarian Palestin dan merayu negara anggota Kesatuan Eropah (EU) lain turut berbuat demikian susulan pemotongan bantuan Amerika Syarikat, kata Kementerian Luar negara itu hari ini.

UNRWA bergelut dengan kekurangan bantuan sejak AS mengumumkan Januari lalu ia akan mengurangkan dana tahunan sebanyak AS$300 juta (RM1.21 bilion).

Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, berkata dalam surat kepada negara anggota EU bahawa agensi itu adalah faktor utama kestabilan di Asia Barat.

Maas tidak menyebut jumlah yang akan disumbang Jerman sebagai tambahan kepada 81 juta euro (RM387 juta) setakat ini pada 2018, tetapi merayu EU turut membantu agensi berkenaan mengatasi defisit.

Kementerian luar mengesahkan kandungan surat berkenaan.

Pengarah UNRWA, Pierre Krahenbuhl, berkata semalam agensi berkenaan memerlukan AS$200 juta (RM823 juta) untuk meneruskan tugas sehingga akhir tahun ini.

Agensi berkenaan membantu lima juta pelarian Palestin berdaftar dan menyediakan persekolahan kepada 526,000 kanak-kanak di Palestin, Lubnan, Syria dan Jordan.

UNRWA, baru-baru ini memberi amaran dananya cuma cukup memastikan 711 sekolah dibuka bulan depan.

SUMBER: AFP


Pengarang :