GLOBAL

Jumlah kematian tragedi gempa bumi dan tsunami Palu cecah 420 orang

PALU (INDONESIA) 30 SEPT: Lebih daripada 400 orang disahkan terbunuh, kebanyakannya dihanyutkan ombak besar akibat tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi kuat di Sulawesi.

Puluhan mangsa dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan hotel di Palu yang dilanda ombak setinggi enam meter susulan gempa bumi berukuran 7.5 itu.

Ratusan pengunjung sebelum itu berhimpun di pantai bagi meraikan sebuah perayaan apabila dihempas ombak besar awal pagi Jumaat, menyebabkan kematian dalam jumlah yang besar.

Presiden Joko Widodo dijadualkan melawat pusat pemindahan di tengah bandar hari ini.

Ketua Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Willem Rampangilei memberitahu wartawan di Sulawesi lewat malam tadi bahawa jumlah kematian di Palu telah mencecah 420 orang, menurut laporan laman web Kompas.

“Dianggarkan 10,000 pelarian kini berada di 50 pusat di bandar Palu,” kata beliau dipetik oleh Kompas.

“Kami berdepan kesukaran untuk membawa masuk jentera berat bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat mangsa di bawah runtuhan bangunan kerana kebanyakan jalan utama menuju ke bandar Palu musnah akibat gempa,” katanya.

Pihak berkuasa sebelum ini mencatatkan jumlah kematian sebanyak 384.

 

Sementara itu jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho memberitahu taklimat di Jakarta, kerosakan besar berlaku akibat bencana berkenaan, membabitkan ribuan kediaman, hospital, pusat beli belah dan hotel yang runtuh.

“Jumlah kematian dan kerosakan dijangka lebih besar di Donggala, utara Palu yang terletak berhampiran dengan pusat gempa.

“Perhubungan terputus sama sekali dan tiada sebarang maklumat diterima setakat ini dari Donggala,” katanya.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :