EKONOMI

Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kadar jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan dana dalam pasaran wang.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kadar rujukan Islam semalaman tidak berubah daripada paras minggu sebelumnya pada 3.19 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu tidak berubah masing-masing pada 3.26 peratus, 3.30 peratus dan 3.35 peratus.

Sementara itu, KLIBOR tiga bulan pendasar kekal berada pada 3.69 peratus.

Sepanjang minggu ini, operasi bank pusat menyerap lebihan mudah tunai setiap hari daripada sistem kewangan dengan menawarkan tender seperti pasaran wang konvensional, Qard dan repo.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, jumlah lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional bagi minggu ini susut kepada RM23.16 bilion berbanding RM24.84 bilion pada minggu sebelumnya, manakala dalam bank Islam, ia meningkat kepada RM12.99 bilion daripada RM8.85 bilion.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :