SELANGOR

Kaji semula kadar kompaun salah guna tanah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Negeri akan mengkaji semula kadar kompaun bagi penyalah gunaan tanah khususnya bagi menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram dan pembakaran terbuka.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, hal itu kerana kompaun yang dikenakan adalah rendah ketika ini serta kurang efektif.

“Kerajaan Negeri sukar untuk menahan pelaku tetapi pemantauan berkala dilakukan berterusan dalam membendung aktiviti itu.

“Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan sentiasa menjalankan pemantauan, sekiranya pelaku ditahan maka tindakan boleh dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan delegasi International Federation of Library Association (Ifla) di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri mengenal pasti beberapa kawasan pembakaran terbuka yang kerap berlaku antaranya Taman Sri Serdang, Johan Setia dan Semenyih.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan isu membabitkan pencemaran terbuka.

“Baru-baru ini kes diterima di Semenyih melibatkan pelupusan sampah melibatkan longgokan tayar yang dibakar mengambil masa dua hari untuk dipadamkan.

“Kerajaan Negeri juga sedang meneliti kaedah efektif yang bersesuaian bagi mengekang masalah yang sama daripada berulang,” katanya.

Beliau turut mengharapkan kerjasama daripada penduduk setempat dalam menyalurkan maklumat.


Pengarang :