ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Kaji semula keberkesanan Kempen Bebas Plastik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri akan melaksanakan satu kajian keberkesanan Kempen Bebas Plastik di negeri ini bagi memastikan keputusan diambil tidak membebankan sesetengah pihak.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, dengan peralihan Kerajaan Persekutuan yang baharu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Kempen Sekatan Penggunaan Beg Plastik di seluruh negara, tahun depan.

Katanya, kerjasama berkenaan adalah diantara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

“Isu mengenai penggunaan beg plastik serta kesannya terhadap alam sekitar. Kempen ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga terutamanya peniaga pasaraya besar, peruncit, pengusaha makanan dan penduduk.

“Perkara ini dapat dilihat apabila peniaga memainkan peranan mereka dalam mempromosikan kempen bebas plastik dengan melaksanakan caj RM0.20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan.

“Pengguna juga sudah mula membiasakan diri membawa beg sendiri dan tidak lagi mengambil beg pklastik ‘single use’ sewaktu membeli belah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri, di sini.

Loy Sian berkata, pengharaman penggunaan beg plastik secara total bukan mudah untuk dilaksanakan kerana ia akan menjejaskan banyak pihak termasuk pengilang plastik, peniaga dan pengguna.

“Justeru, Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kempen itu dari pelbagai peringkat,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen bermula 1 Januari 2017 selama tujuh hari seminggu berbanding hanya setiap Sabtu sebelumnya.

Sehubungan itu, semua jenis perniagaan tidak dibenarkan menyediakan beg plastik ‘single use’ secara percuma dan menghentikan penggunaan polisterena di semua premis perniagaan termasuk premis makanan.


Pengarang :