SELANGOR

‘Kampung Tunku Kampungku’ tema sambutan Hari Malaysia warga tempatan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Pusat Khidmat DUN Kampung Tunku bakal menganjurkan sambutan Hari Malaysia dengan gaya tempatan tersendiri menerusi tema ‘Kampung Tunku Kampungku’, pada 23 September ini.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata, idea itu bertujuan menyerlahkan keunikan Kampung Tunku dengan menyatukan zaman dahulu dan kini serta menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat yang mengalukan kehadiran semua orang.

“Selepas penyusunan semula dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Kampung Tunku kini terdiri daripada kejiranan SS1, SS2, SS3, SS9a (Kampung Baru Sungai Way), Seksyen 20, Seksyen 21, dan Seksyen 22.

“Walaupun menempatkan beberapa kawasan kejiranan yang tertua di Petaling Jaya, Kampung Tunku sering dikelirukan orang ramai dengan Bukit Tunku yang terletak di Kuala Lumpur.

“Perbualan dengan orang lama kawasan Kampung Tunku membuka beberapa topik bersejarah yang menarik,” katanya kepada SelangorKini.

Mengikut sejarah, pembukaan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku dirasmikan Bapa Kemerdekaan negara, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Kampung Tunku juga adalah kawasan kediaman Tokoh Negara dan pemuisi Melayu terkenal, arwah Usman Awang serta seluruh keturunan Kapitan Cina Yap Ah Loy.

Selain itu, Kampung Tunku turut menempatkan bakat tempatan seperti kumpulan tarian Pawana SK Kampung Tunku, SMK (P) Sri Aman yang menghasilkan ramai pelajar berprestasi tinggi.

Yi Wei berkata, tema ‘Kampung Tunku Kampungku’ tampil dengan tiga objektif iaitu mengetengahkan Kampung Tunku yang kaya dengan sejarah dan budaya; menjadikan Kampung Tunku dikenali sebagai komuniti penuh semangat dan menyerlah serta menjadikan Hari Malaysia relevan dalam kalangan komuniti tempatan.

“Terdapat banyak tempat makan popular dalam kawasan DUN Kampung Tunku.

“Kampung Tunku Kampungku berhasrat memberi ruang kepada penjual makanan dan peniaga tempatan untuk menampilkan produk, di samping memperkenalkan mereka sebagai sebahagian daripada komuniti kami,” katanya.


Pengarang :