KENYATAAN MEDIANASIONAL

Ke arah Malaysia lebih adil, saksama dan bersatu padu

Tarikh 16 September 1963 menyaksikan negeri-negeri Sabah dan Sarawak bersama Semenanjung yang telah merdeka pada 31 Ogos 1957, berpadu di dalam suatu permuafakatan besar negara kesatuan Malaysia.

Prinsip dan semangat Persekutuan telah dipersetujui untuk menjadi penyatu dan bumbung yang memayungi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Kita juga menaruh harapan yang amat tinggi untuk melihat Malaysia yang adil, saksama dan bersatu padu.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Sudah tentu peristiwa bersejarah ini memberi kita kesempatan untuk mengimbau dan menyingkap peristiwa bersejarah terkait pembentukannya tanpa disisihkan perjuangan dan pengorbanan mana-mana pejuang dari pelbagai kaum, pemikiran dan aliran politik yang bergolok gadai segalanya demi nikmat yang kita kecapi hari ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Tarikh ini juga seharusnya dimaknai dengan iltizam dan tekad yang menjurus kepada perpaduan antara kaum dan agama serta kebersamaan dalam keluarga besar Malaysia ini tatkala kita telah melangkaui separuh abad kemerdekaan negara.

Kecurangan dan keangkuhan pimpinan lalu yang meremehkan Perlembagaan dan menginjak prinsip-prinsip demokrasi tidak harus diulangi. Dengan asas ini juga, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang ditegaskan Perlembagaan, sewajarnya menjadi penghubung dan alat penyatuan buat semua bangsa dan kaum di Malaysia.

Ia juga adalah bahasa peradaban yang luhur, bahasa perdagangan, dan pernah menjadi ‘lingua franca’ serantau yang melatari kurun ke-15 sehingga pertengahan kurun ke-19.

Penekanan terhadap penggunaan dan penguasaannya harus diberikan keutamaan, selain upaya untuk membuang syak wasangka segelintir pihak yang melihat Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menyubur faham rasisme dan rasa curiga antara kaum. Sebaliknya, ia adalah milik anak semua bangsa di negara ini.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Menyentuh perihal hubungan antara kaum, toleransi kaum dan agama sewajarnya dibenih, disemai dan didukung sebagai perkakas dan pemampan kepada kacau bilau dan kebencian yang ditimbulkan sesetengah pihak yang tidak ada matlamat lain selain huru hara dan ketidakstabilan.

Kesiapsiagaan kita dalam menangani cabaran ini harus ditingkatkan melalui pelbagai usaha, selain dukungan tanpa berbelah bahagi kita terhadap Perlembagaan Persekutuan.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Semoga segala upaya dan usaha kita dalam mengekalkan dan melindungi keluarga besar Malaysia ini diredhai dan diberkati Tuhan.

Bersempena sambutan Hari Malaysia ini, saya mewakili keluarga dan KEADILAN seluruhnya mendoakan permulaan yang baharu buat negara tercinta ini. Semoga ia kekal aman dan toleran.
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
Dirgahayu Malaysiaku!
⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀⠀
OLEH: DATUK SERI ANWAR IBRAHIM


Pengarang :