NASIONAL

KEADILAN tumpu menang di Port Dickson

SHAH ALAM, 14 SEPT: Keputusan KEADILAN mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson tidak sepatutnya dipanjangkan, sebaliknya tumpuan parti kini memastikan kemenangan milik Pakatan Harapan (PAKATAN).

Memetik laporan BERNAMA, Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu kini sudah menjadi “akademik” dan tidak perlu dibincang lagi.

“Saya rasa tumpuan kita sekarang untuk memastikan kerusi Port Dickson itu kekal di tangan PAKATAN melalui KEADILAN dan saya sudah menggesa anggota parti untuk bersatu dan bekerja kuat bagi mengekalkan kerusi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi perjumpaan bersana anggota dan pemimpin KEADILAN dari Wilayah Utara, di Seberang Jaya, malam tadi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi yang disandangnya untuk memberi laluan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan memasuki Parlimen.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi turut menafikan khabar angin beliau akan meninggalkan KEADILAN, dalam tempoh terdekat.

“Nama pun khabar angin, bagaimana saya nak respon? Jangan terpengaruh dengan cerita seperti ini.

“Saya antara pemimpin yang bersama rakyat membawa perubahan, takkan setelah menang, berubah saya nak tinggal perjuangan ini. Ini satu tohmahan tidak berasas,” katanya.

 


Pengarang :