SELANGOR

Kejayaan Khairil Azlan jadi contoh, inspirasi anak muda Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 22 SEPT: Kejayaan Kharil Azlan Ab Rasid, 43, menawan tiga puncak Himalaya di India, diharap menjadi inspirasi kepada generasi muda khususnya di Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, kesungguhan Khairil Aslan untuk menempa kejayaan dalam pendakian itu seharusnya dicontohi demi mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang pada masa depan.

“Khairil Aslan adalah ikon Anak Muda Gombak (AMG) dan kita memerlukan belia memiliki semangat kental sepertinya.

“Aktiviti dilakukan beliau sesuatu yang sihat dan banyak membantu mendisiplinkan diri yang sepatutnya diikuti anak muda lain,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kepulangan Khairil Aslan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Khairil Aslan berjaya melengkapkan misi menawan puncak Gunung Stok Kangri dan mengibarkan bendera Selangor di puncak Himalaya, utara India sekali gus melengkapkan misi pendakian tiga puncaknya.

Beliau mendapat sokongan Kerajaan Negeri dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk pendakian menawan tiga puncak, Gunung Stok Kangri setinggi 6,153 meter, Gunung CB14 (6,045 meter) dan Gunung CB13 (6,264 meter), mulai 27 Ogos lalu.

Sementara itu, Yang Dipertua Selayang, Suliman Abd Rahman berkata, pihaknya membantu menjadikan misi Khairil Aslan satu realiti berpandukan semangat dan keazamannya yang tinggi.

“Khairil Aslan menunjukkan kesungguhan dan kita membantu segala terdaya bagi merealisasinya.

“Kita berbangga dengan kejayaan diciptanya,” katanya.


Pengarang :