GLOBALRENCANA

Kemelut cadangan India pembelian jet pejuang Perancis

OLEH Shakir Husain

NEW DELHI, 25 SEPT: India sudah mengorak langkah untuk menilai pelbagai pilihan untuk memoden serta memperluaskan jet pejuang negara itu yang sudah digunakan sejak era Perang Dingin sejak lebih sedekad lalu.

Syarikat Perancis, Dassault Aviation adalah salah sebuah syarikat yang bersaing untuk mendapat kontrak bernilai bilion dolar bagi membekalkan 126 buah pesawat tempur (MMRCA) untuk Tentera Udara India.

India mengeluarkan permintaan untuk cadangan pembekalan (RFP) kepada enam buah syarikat pada 2007 iaitu Dassault Aviation’s Rafale jet, firma Amerika Lockheed Martin’s F-16, Kumpulan Sweden Saab’s Gripen, the Eurofighter Typhoon iaitu konbinasi firma Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali, firm berpangkalan di Amerika Syarikat, Boeing F/A-18E/F Super Hornet, dan Russia’s MiG-35 juga dipertimbangkan.

Pada 2012 India memilih Rafale berenjin kembar, yang digunakan oleh Tentera Udara Perancis sejak 2006 dinyatakan sebagai “pembida yang menjadi pilihan” , dan jumlah pembelian dianggar kira-kira AS$12 bilion.

India dijangka menerima 18 pesawat yang siap untuk terbang dari Perancis sementara 108 buah lagi dipasang di India.

Selepas bertahun-tahun berunding mengenai butiran teknikal, harga dan pelbagai isu lain, perjanjian hampir dicapai.

Ketua Eksekutif Dassault, Eric Trappier berkata pada Mac 2015 syarikat beliau dan syarikat milik kerajaan India, Hindustan Aeronautics Ltd mencapai “persetujuan” perkongsian kerja membuat pesawat berkenaan di India.

Kemudian keluar pula pengumuman Perdana Menteri Narendra Modi ketika melawat Perancis pada April 2015.

“Saya meminta Presiden (Francois Hollande) untuk membekalkan 36 jet Rafale yang sedia untuk terbang ke India, ” Modi memberitahu sidang media di Paris.

Menurut laporan pada ketika itu jet berkenaan amat diperlukan untuk memenuhi keperluan operasi Tentera Udara India bagi menggantikan pesawat yang sudah berusia.

India mengendalikan pasukan tentera udara keempat terbesar dunia dan mengikut kiraan ketenteraan memerlukan 42 buah pesawat pejuang “kekuatan minimum yang diperlukan” bagi mengimbangi kekuatan tentera udara Pakistan dan China,

Kekuatan operasi Tentera Udara India terdiri daripada 32 skuadron dengan setiap sukadron mengandungi 16 hingga 18 pesawat.

Rundingan antara Perancis dan India berterusan berbulan-bulan lamanya. Sewaktu Kunjungan Hollande ke New Delhi pada Jan 2016, kedua-dua negara menandatangani memorandum persefahaman untuk pembelian Rafale.

Akhirnya pada Sept 2016, menteri pertahanan India dan Perancis menandatangani perjanjian yang sekian lama ditunggu untuk 36 buah jet dihantar dalam tempoh enam tahun. Kos pembelian 7.8 bilion euro (AS$8.7 bilion).

Dalam tempoh 17 bulan selepas Modi membuat pengumuman di Paris dan perjanian 2016, tender asal untuk 126 pesawat dibatalkan dan pembuat jet tentera terkemuka dunia mula mensasarkan India untuk mendapatkan perjanjian pembelian.

Dengan India menjadi antara pembeli utama senjata, pembelian dari negara asing ini mendapat kecaman daripada pihak parti pembangkang di negara itu.

Sejak minggu-minggu kebelakangan, pihak pembangkang yang diketuai Parti Kongres meningkatkan kecaman yang mencetuskan kemarahan kerajaan India.

Pengkritik mendakwa India membayar harga yang lebih tinggi untuk setiap pesawat berbanding harga yang dirundingkan dalam perjanjian asal.

Mereka juga menentang kehadiran syarikat baru Anil Ambani, Reliance Defence sebagai sebahagian daripada perjanjian baru dengan Dassault atas dakwaan ia tidak mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang pengilangan barangan ketenteraan.

Perjanjian baru itu mengandungi peraturan pembelian barangan ketenteraan iaitu firma asing perlu melabur sebahagian dari nilai kontrak di India.

Bekas presiden Perancis Hollande Jumaat lepas bahawa Perancis tidak mempunyai pilihan dalam memilih rakan kongsi India bagi memenuhi keperluan berkenaan dan kenyataan itu “memarakkan” lagi pertelingkahan di India.

“Kami tidak mempunyai pilihan, kami terima siapa yang diberikan kepada kami, ” Hollande memberitahu laman sesawang penyiasat, Mediapart.

Presiden Parti Kongres Rahul Gandhi menggunakan komen itu untuk menyerang Kerajaan India.

“Perdana Menteri secara peribadi berunding dan menukar perjanjian Rafale secara tertutup. Terima kasih kepada Francois Hollande kerana membuat kenyataan itu. Sekarang kita tahu beliau sendiri menyerahkan kontrak berbilion dolar kepada Anil Ambani yang sudah muflis, ” kata Ghandi.

Sebelum pendedahan itu, kerajaan India sudah berdepan dengan soalan berat mengapa Hindustan Aeronautics tidak ada dalam perjanjian untuk membeli 36 pesawat yang diperlukan.

Beberapa perkara dibangkitkan tentang perlanggaran peraturan pembelian keperluan ketenteraan. Memandangkan India berdepan dengan pilihan raya umum pada 2019, sudah tentu ia akan menjadi isu hangat.

Kerajaan Modi sudah memulakan gerakan untuk menangkis dakwaan Kongres serta sekutunya.

Menteri Kewangan Arun Jaitley dalam blognya menepis kenyataan Hollande.

“Rakan kongsi perjanjian baru dipilih oleh Dassault Aviation, pengilang asal peralatan dan Kerajaan Perancis serta Kerajaan India tidak mempunyai sebarang kuasa dalam perkara ini, ” kata Jaitley.

Kementerian Pertahanan India pula mengeluarkan kenyataan kerajaan tidak mempunyai sebarang peranan dalam pemilihan rakan kongsi dalam perjanjian baru itu.

Kalau Modi menjadi fokus serangan Ghandi, kini giliran parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) meningkatkan serangan ke atas presiden Kongres itu.

Antara kata-kata serangan yang digunakan menuduh “seluruh keluarga” Ghandi sebagai pencuri. Kata-kata itu turut digunakan oleh menteri kanan kerajaan.

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff
SUMBER: BERNAMA


Pengarang :