NASIONAL

Kemenangan tiga PRK bukti isu 100 hari tak jejas sokongan rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Usaha memburukkan imej Pakatan Harapan (PAKATAN) kononnya gagal melunaskan janji 100 hari di dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) oleh pembangkang kurang memberi kesan terhadap sokongan rakyat.

Senator Dewan Negara, Ismail Yusof berkata, perkara ini dibuktikan dengan kemenangan berturut tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) khasnya membabitkan keputusan di DUN Balakong.

“Jumlah majoriti yang besar di Balakong menunjukkan sikap atau pendirian pengundi Cina khasnya masih kekal bersama PAKATAN dan perkara berkaitan janji 100 hari, prestasi Kerajaan PAKATAN bersifat lebih provokasi, tidak memberi kesan kepada pengundi Balakong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai pengumuman keputusan PRK Seri Setia di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Ismail yang juga merupakan Pengerusi Tetap Kongres Nasional KEADILAN berkata rata-rata rakyat juga sedar bahawa perubahan memerlukan masa secukupnya dan bukanlah dalam tempoh 100 hari.

Katanya, PAKATAN sedang berusaha gigih melakukan reformasi untuk mengangkat agenda rakyat.

Bagaimanapun katanya, PAKATAN tidak boleh mengambil mudah terhadap isu peratusan keluar mengundi yang rendah dan sokongan masyarakat Melayu dalam pilihan raya akan datang.

“PAKATAN perlu beri perhatian, kena buat mikro analisis kenapa peratusan rendah dan jumlah undi kepada PAS juga menunjukkan sokongan asas kepada PAS masih ada dan PAKATAN tidak boleh pandang rendah khasnya persepsi dan sikap pengundi Melayu,” katanya.


Pengarang :