NASIONAL

Kementerian Pengangkutan mahu pemegang lesen terbang serah lesen

OLEH NORHAYATI UMOR

PUTRAJAYA, 13 SEPT: Kementerian Pengangkutan mahu mana-mana pemegang lesen terbang di negara ini tampil dan menyerahkan lesen mereka kepada Unit Integriti, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara dalam tempoh sebulan.

Ia susulan pendedahan kira-kira 14,000 lesen terbang dikeluarkan sejak dua tahun lalu oleh sindiket pengeluaran lesen tanpa mengikut prosedur sah, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan memproses maklumat pemohon menggunakan Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara sedangkan pemohon terbabit tidak pernah berkunjung atau bekerja di luar negara serta tidak memiliki lesen memandu di luar negara.

“Kita mahu mereka tampil secara sukarela dan tiada tindakan akan dikenakan kepada mereka. Bagaimanapun, selepas tempoh itu, mana-mana pihak yang didapati memegang lesen memandu tanpa mengikut prosedur ditetapkan akan dipanggil temu siasat mengikut Seksyen 114, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Jika disabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 108 APJ 1987 iaitu hukuman minimum denda RM5,000 atau penjara atau kedua-dua sekali,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anthony berkata, kementeriannya sudah mengambil tindakan tahan kerja terhadap 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan siasatan terhadap kes berkenaan.

“Lesen memandu luar negara yang sering digunakan sindiket ini untuk prosedur penukaran adalah dari China, Singapura, Brunei dan Jepun.

“Mereka (sindiket) juga mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,500 bagi setiap lesen.

“Tangkapan ini membabitkan pegawai dan anggota di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan ketika ini serius membanteras kes rasuah dan salah guna kuasa dalam agensi kerajaan.

Katanya, walaupun kakitangan itu belum ditahan tetapi kementerian itu boleh menahan kerja mereka.

“Aktiviti tidak bermoral ini memberi kesan negatif kepada negara termasuk dari segi ekonomi iaitu ketirisan hasil negara dan institut memandu tidak dapat menjana hasil.

“Bagi lesen Kelas B, ketirisan hasil negara adalah RM83 bagi setiap pemohon lesen manakala bagi kelas D adalah RM113 bagi setiap pemohon lesen.

“Untuk institut memandu pula, mereka tidak dapat menjana hasil iaitu lesen kelas B sebanyak RM709 bagi setiap pemohon lesen dan lesen kelas D adalah RM1,007 bagi setiap pemegang lesen,” katanya.


Pengarang :