NASIONAL

Kementerian Pengangkutan serius tangani isu beg udara Takata

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 19 SEPT: Kementerian Pengangkutan memandang serius isu beg udara Takata dan akan menghantar surat peringatan kepada pemilik kenderaan berkaitan bagi tujuan penukarannya.

Jurucakapnya berkata, kementerian berasa dukacita dengan reaksi orang ramai tidak memandang serius inisiatif diambil dalam usaha mencegah daripada kejadian maut beg udara Takata berulang kembali.

“Dari 26 Jun hingga 4 September lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghantar 408,551 pucuk surat peringatan kepada semua pemilik kenderaan berkaitan dan sepanjang tempoh surat peringatan sehingga ke hari ini, sebanyak 70,853 bilangan kenderaan dihantar ke bengkel syarikat pengeluar dan selesai urusan penukaran beg udara.

“Ini menunjukkan peratus orang ramai mengambil tindakan terhadap surat peringatan ini adalah sebanyak 17.43 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya, pihak industri automotif terbabit dikehendaki mewujudkan Pelan Komprehensif Panggilan Semula Dan Stok Beg Udara.

“Pengeluar perlu meningkatkan keupayaan Pusat Servis dan penyediaan stok untuk memudahkan pemilik kenderaan memerlukan penukaran beg udara.

“Pihak industri juga dikehendaki untuk mewujudkan pelan promosi lebih efisien di mana syarikat pengeluar perlu memastikan komunikasi serta maklumat mengenai usaha ini sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Sementara itu, JPJ akan meneruskan ‘task force’ selama dua bulan lagi dengan membuat pemantauan terhadap status panggilan semula dan kesediaan stok.

“Bagi melancarkan tindakan gerak kerja ini, pengeluar dikehendaki menyediakan stok mencukupi dalam tempoh dua dan Honda bersetuju akan menghantar peringatan akhir kepada pelanggannya dalam tempoh dua minggu,” katanya.


Pengarang :