NASIONALPELANCONGAN

Kementerian sasar 30 juta pelancong menjelang 2020

GEORGE TOWN, 30 SEPT: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menyasarkan 30 juta kemasukan pelancong ke Malaysia menjelang tahun 2020.

Timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata kemasukan pelancong pada tahun itu secara langsung akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 15.1 peratus ​​​​​​berbanding 14.9 peratus atau 26.1 juta pelancong yang mengunjungi Malaysia pada tahun lepas.

“Kami menyasarkan 15.1 peratus untuk KDNK pada 2020 dan kami kini memohon lebih banyak peruntukan untuk promosi pelancongan kerana ia kunci kemampanan bagi industri pelancong itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis ‘Flag Off’ Distinguished Gentleman’s Ride Penang 2018 di sini, hari ini.

Katanya, dengan peruntukan itu, kementerian akan meningkatkan aktiviti dari segi mempromosikan negara secara lebih meluas yang dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

“Kita kini mendapat saingan ketat daripada Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar dan Singapura dalam industri ini, jadi kita perlu perkukuhkan promosi kita dan berharap rakyat Malaysia sendan mengambil bahagian untuk meningkatkan pelancongan domestik,” katanya.

Turut hadir, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Dr Afif Bahardin dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Bakhtiar turut menggesa badan-badan pelancongan agar menggunakan tagline “Malaysia Truly Asia” yang dilihat mampu mempromosikan Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Kita hendak mana-mana badan pelancongan menggunakan tagline itu kerana ia antara langkah untuk mengangkat Malaysia supaya lebih dikenali di mata dunia,” katanya.

Dalam pada itu, Bakhtiar berkata kementeriannya melalui Kementerian Pelndidikan Malaysia dalam usaha untuk memanjangkan cuti sekolah mengikut negeri supaya mana-mana destinasi pelancongan di dalam negara ini tidak hanya tertumpu pada satu tempat sahaja.

“Kami mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk mengkaji cuti sekolah dengan mengikut negeri, contohnya, jika cuti sekolah jatuh pada bulan Mac, maka (sekolah) Pulau Pinang akan mula bercuti pada minggu pertama Mac, kemudian diikuti Selangor (yang akan mula bercuti) pada minggu kedua bulan Mac, begitu juga Johor dan seterusnya.

“Jadi, apabila cuti sekolah dipanjangkan (dan mengikut negeri) maka orang ramai tidak akan tertumpu pada satu-satu destinasi pelancongan sahaja,” katanya.

Program Distinguished Gentleman’s Ride Penang 2018 adalah acara amal anjuran Motocycles Rotten Baganland yang bertujuan memerangi stereotaip negatif bagi kaum lelaki dan motosikal di samping menyebarkan kesedaran mengenai kesihatan kaum lelaki sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki yang bakal disambut November ini.

Seramai 400 penunggang motosikal klasik yang terdiri daripada komuniti penunggang motosikal klasik Wilayah Utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perak) dan Kuala Lumpur menyertai acara itu dan akan mengelilingi seluruh bahagian pulau dengan misi memperoleh sasaran kutipan derma sebanyak US$1,000 (RM4,138.50).

Sumbangan dana itu akan disalurkan kepada Tabung Gentleman’s Ride bagi membantu pesakit kanser prostat yang memerlukan serta pembangunan dan penyelidikan bagi kesihatan lelaki.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :